1955–1966: Taman tema Walt_Disney

Perancangan Disneyland

Pandangan udara Disneyland dari barat laut ke tenggara, Ogos 1963. New Melodyland Theater di atas. The Santa Ana Freeway di sudut kiri atas.

Ketika melawat Chicago untuk tujuan perniagaan pada akhir 1940-an, Disney melakarkan cadangan taman hiburan yang diharapkan dijadikan tempat istirahat kakitangan beliau meluangkan masa bersama anak-anak mereka, diilhamkan setelah melawat taman hiburan Children's Fairyland di Oakland, California. Idea-idea asalnya dibangunkan menjadi konsep untuk perusahaan besar yang menjadi Disneyland. Disney menghabiskan lima tahun membangunkan Disneyland dan membuka cawangan baru syarikatnya, iaitu WED Enterprises, untuk melaksanakan perancangan dan penghasilan taman hiburannya. Sekumpulan kecil kakitangan studio Disney menyertai projek pembangunan Disneyland sebagai jurutera dan perancang yang bergelar "Imagineers".

Ketika menjelaskan salah satu rancangan terawalnya kepada Herbert Ryman (pereka lukisan pandangan udara pertama Disneyland yang dibentangkan kepada Bank of America ketika memohon pembiayaan), Disney berkata, "Herbie, saya cuma mahu menampakkannya seolah-olah tiada yang seumpamanya di dunia, dikelilingi oleh kereta api lagi."[70] Disney mendapat idea landasan kereta api mengelilingi Disneyland, daripada menghibur anak-anaknya dan kawan-kawan mereka di halaman rumah serta membawa mereka menaiki Carolwood Pacific Railroad.

Perasmian Disneyland

Disneyland dibuka secara rasmi pada 17 Julai 1955. Di antara beratus-ratus pengunjung yang hadir di upacara pembukaan gilang-gemilang termasuk Ronald Reagan, Bob Cummings dan Datuk Bandar Anaheim. Berikut adalah ucapan Disney sempena hari pembukaan taman hiburannya:

Kepada semua yang tiba di tempat keriangan ini; selamat datang. Disneyland ialah tempat anda. Di sinilah usia menghidupkan semula kenangan indah yang lalu...dan di sinilah muda-mudi menikmati dugaan dan harapan masa hadapan. Disneyland ditujukan khas kepada buah fikiran, impian dan kenyataan yang melahirkan Amerika...dengan harapan agar Disneyland akan menjadi sumber keriangan dan inspirasi ke seluruh dunia.

Menceburi bidang baru

Sambil memulakan pembinaan Disneyland, Walt Disney Productions turut menceburi bidang-bidang hiburan yang lain. Pada tahun 1950, Treasure Island menjadi filem cetera aksi sebenar sepenuhnya yang pertama terbitan studionya, diikuti 20,000 Leagues Under the Sea (dalam format CinemaScope, 1954), Old Yeller (1957), The Shaggy Dog (1959), Pollyanna (1960), Swiss Family Robinson (1960), The Absent-Minded Professor (1961), dan The Parent Trap (1961). Studio Walt Disney menerbitkan rancangan istimewa TV pertamanya, berjudul One Hour in Wonderland, pada tahun 1950. Disney juga mengacarakan siri antologi mingguan di rangkaian ABC yang berjudul Disneyland sempena taman tema tersebut, yang mana beliau memaparkan sedutan filem terbitan Disney yang lalu, menganjurkan jelajah studionya, dan menyebarluaskan Disneyland yang sedang dalam pembinaan kepada orang awam. Rancangan ini turut menayangkan siri televisyen Davy Crockett yang digilai muda-mudi Amerika sehingga dijualnya berjuta-juta topi kulit rakun dan bermacam-macam lagi cenderahati Crockett ke merata negara.[71] Pada tahun 1955, lahirnya rancangan televisyen harian pertama Disney iaitu Mickey Mouse Club yang disiarkan hingga 1990-an.

Ketika studionya diluaskan dan dipelbagaikan ke media-media lain, Disney kurang memberi perhatian kepada jabatan animasi, sebaliknya mengamanahkan sebahagian besar pengendalian jabatan tersebut kepada sembilan orang juruanimasi terpentingnya yang digelar Nine Old Men. Sepanjang hayat Walt Disney, jabatan animasi menjayakan filem Lady and the Tramp (dalam format CinemaScope, 1955), Sleeping Beauty (dalam format Super Technirama 70mm, 1959), One Hundred and One Dalmatians (1961), dan The Sword in the Stone (1963).

Penerbitan kartun pendek berterusan sehingga Disney menutup jabatannya pada tahun 1956, selepas itu disambung dalam bentuk projek filem pendek istimewa secara sekali-sekala sepanjang hayat studionya. Kesemua filem ini diedarkan oleh anak syarikat baru Disney, Buena Vista Distribution, yang mengambil alih segala tanggungjawab pengedaran filem dari RKO pada tahun 1955. Disneyland, salah sebuah taman tema terawal di dunia, akhirnya dibuka pada 17 Julai 1955, lalu cepat mengecapi kejayaan dengan kunjungan peminat dari merata dunia yang hendak menikmati tarikan-tarikan yang diilhamkan dari sebilangan filem dan harta-harta kejayaan Disney.

Selepas tahun 1955, rancangan TV Disneyland dikenali sebagai Walt Disney Presents, beralih dari hitam ptih ke siaran warna pada tahun 1961, bertukar namanya lagi ke Walt Disney's Wonderful World of Color, berpindah dari rangkaian ABC ke NBC,[72] dan akhirnya bertukar namanya ke The Wonderful World of Disney yang bersiaran di NBC sehingga diambil alih oleh CBS pada tahun 1981.[73] Semenjak itu, siri antologi Walt Disney telah disiarkan di rangkaian ABC, NBC, Hallmark Channel dan Cartoon Network hasil urus janji hak penyiaran bersilih ganti.

Disney sudah membentuk bahagian penerbitan muziknya pada tahun 1949. Pada tahun 1956, berikutan kejayaan lagu tema rancangan televisyen The Ballad of Davy Crockett, beliau menubuhkan entiti penerbitan dan pengedaran rakaman milik syarikatnya, iaitu Disneyland Records.

Kejayaan awal 1960-an

Menjelang awal 1960-an, terbuktinya kejayaan besar empayar Disney, apabila Walt Disney Productions menempa nama sebagai peneraju penerbitan hiburan seisi keluarga di dunia.

Setelah berpuluh-puluh tahun mengejarnya, Disney akhirnya memperoleh hak milik buku-buku P. L. Travers yang menceritakan seorang pengasuh ajaib. Filem Mary Poppins yang keluar pada tahun 1964 merupakan filem Disney paling berjaya sepanjang 1960-an, menampilkan skor lagu malar hijau yang digubah oleh Sherman Bersaudara. Pada tahun yang sama, Disney memperkenalkan koleksi pameran di 1964 New York World's Fair, termasuk figura Audio-Animatronic, yang semuanya disepadukan dalam tarikan-tarikan di Disneyland dan sebuah lagi projek taman tema di Pantai Timur.

Rancangan Disney World dan EPCOT

Disney World dijangka merangkumi sebuah lagi Disneyland yang lebih besar dan teliti iaitu Magic Kingdom, di samping juga sebilangan padang golf dan resort penginapan. Di pusat Disney World pula, bakal didirikan Kota (atau Komuniti) Prototaip Bereksperimen Masa Akan Datang (Experimental Prototype City (or Community) of Tomorrow), atau singkatannya EPCOT.

Kematian

Filem-filem terakhir yang melibatkan peranan aktif Disney ialah filem cetera animasi The Jungle Book dan komedi muzikal aksi sebenar The Happiest Millionaire, kedua-duanya keluar pada 1967. Penggubah lagu Robert B. Sherman menceritakan kali terakhir dia bertemu dengan Disney:

Beliau berada di tingkat tiga bangunan animasi selepas latihan The Happiest Millionaire. Selepas itu, beliau selalu di ruang depan menunggu orang-orang yang terlibat dalam filem itu. Selepas itu beliau berbual bersama mereka, memberitahu mereka apa yang disukainya dan apa yang harus diubah oleh mereka, kemudian apabila selesai, beliau tersenyum ke arah kami sambil berucap 'Teruskan usaha kamu', lalu berjalan ke pejabatnya. Inilah kali terakhir kami bertemu dengan beliau.[74]

Pada akhir 1966, Disney dijadualkan menjalani pembedahan leher berikutan kecederaan dari bermain polo lama dahulu;[75] beliau selalu bermain di Riveria Club di Hollywood selama bertahun-tahun lamanya.[76] Pada 2 November 1966, ketika mengambil sinar X sebelum pembedahan, para doktor di Pusat Perubatan Providence St. Joseph yang terletak di seberang jalan dari Disney Studio mendapati bahawa Disney yang ketagih rokok ini menghidap ketumbuhan yang amat besar di paru-paru kirinya.[77] Lima hari kemudian, Disney kembali ke hospital untuk dibedah, tetapi ketumbuhan tersebut merebak begitu luas sehingga doktor-doktornya terpaksa menanggalkan seluruh paru-paru kirinya.[77] Disney kemudian diberitahu hayatnya cuma tinggal enam bulan hingga setahun sahaja.[77] Setelah beberapa kali menjalani kemoterapi, Disney dan isterinya bercuti sebentar di Palm Springs, California sebelum pulang.[75] Pada 30 November 1966, Disney rebah di rumahnya, tetapi berjaya disedarkan oleh paramedik, lalu dibawa balik ke hospital, di mana beliau menghembuskan nafas terakhirnya[75] pada 15 Disember 1966, pukul 9:30 pagi, sepuluh hari selepas hari jadinya yang ke-65. Jenazah beliau dibakar pada 17 Disember 1966, lalu abunya disimpan di Taman Peringatan Forest Lawn di Glendale, California. Roy O. Disney meneruskan projeknya di Florida, dengan menegaskan bahawa nama projek itu ditukar ke Walt Disney World sempena memperingati adiknya Walt.

Rujukan

WikiPedia: Walt_Disney http://www.mbam.qc.ca/disney/index_en.html http://www.allacademic.com/meta/p114070_index.html http://www.anaheimwalkofstars.com/index.php http://www.animationusa.com/resources/aboutdisney.... http://www.animationusa.com/resources/aboutwb.html http://www.awn.com/mag/issue2.4/AWNMag2.4.pdf http://www.bcdb.com/bcdb/cartoon.cgi?film=15&m=r http://www.britannica.com/eb/article-9096160/Donal... http://www.britannica.com/eb/article-9106382/Fleis... http://www.findagrave.com/cgi-bin/fg.cgi?page=gr&G...